WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan syarikat induk Google, Alphabet dan syarikat induk Facebook, Meta mendapat kebenaran mengendalikan sistem kabel internet dasar laut di Asia.
Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, berkata kelulusan itu diberi susulan pengendalian trafik internet yang semakin meningkat di Asia dan keupayaan syarikat berkenaan menjamin kerahsiaan peribadi pengguna.
Pentadbiran itu menggesa Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) memberi lesen kepada syarikat berkenaan untuk menghantar dan menerima data pada Rangkaian Kabel Cahaya Pasifik sedia ada sepanjang 12,900 kilometer (km).
Sistem kabel gentian optik dasar laut itu akan menghubungkan AS, Taiwan, Filipina dan Hong Kong.
Kabel bawah laut menghantar hampir semua trafik data internet dan Meta meminta kebenaran untuk menggunakan bahagian Filipina ke AS manakala Google meminta kebenaran untuk sambungan ke Taiwan.
Syarikat itu komited untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data rakyat AS, terutama terhadap operasi perisikan China.
Rancangan terbaru Google dan Meta itu membelakangkan cadangan sebelum ini bagi menggunakan kabel rangkaian ke Hong Kong yang dikawal Beijing.
Ia susulan banyak agensi kerajaan AS mengesyorkan supaya rancangan itu disekat pada 2020 susulan bimbang dengan kegiatan risikan China.
Jabatan Kehakiman AS berkata, perjanjian keselamatan negara dengan Google dan Meta diperlukan berikutan ‘usaha berterusan China untuk memperoleh data peribadi sensitif jutaan rakyat AS’.
Tahun lalu, Google memaklumkan ia memerlukan sambungan data untuk mengendalikan trafik yang semakin meningkat antara pusat datanya di Taiwan dan AS.
Jurucakap Meta berkata, sistem kabel meningkatkan kapasiti internet antara AS dan Filipina amat perlu bagi membantu orang ramai terus berhubung serta berkongsi kandungan.
Di bawah perjanjian yang dimeterai, Google dan Meta mesti melakukan penilaian tahunan tahap risiko data sensitif serta mampu mengehadkan atau menyekat aliran trafik data menerusi kabel berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Sekitar 300 kabel bawah dasar laut menjadi tunjang perkhidmatan internet, mengalirkan sekitar 99 peratus daripada trafik data global.
– AGENSI