ISLAMABAD: Kumpulan seperti Al-Qaeda dan Daesh dikhuatiri akan mengambil kesempatan terhadap krisis dia Afghanistan dan cuba menguasai negara itu.
Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi, menyuarakan kebimbangan itu berdasarkan maklumat risikan sedia ada, menjelang sesi khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Islamabad.
Arab Saudi memanggil Sesi Luar Biasa Ke-17 Menteri Luar Majlis OIC itu di Islamabad esok, dengan Pakistan sebagai tuan rumah.
tumpuan pertemuan itu adalah berhubung krisis kemanusiaan di Afghanistan, yang ekonominya jatuh merudum pertengahan Ogos lalu apabila Taliban mengambil alih kuasa, ketika pengunduran tentera asing diketuai Amerika Syarikat (AS).
Kebimbangan terhadap kehadiran kumpulan ektremis yang tidak dikawal di bumi Afghanistan itu dibangkitkan sejak permulaan pengunduran AS selepas 20 tahun berada di sana.
Bagaimanapun, menurut Qureshi, minggu lalu Ketua Komando Pusat AS berkata keadaan jelas menunjukkan Al-Qaeda cuba untuk berkuasa kembali di Afghanistan, yang menjadi pangkalan rancangan serangan 11 September 2001 terhadap AS.
“Kumpulan seperti Al-Qaeda dan Daesh akan mengambil kesempatan daripada krisis ini dan akan meningkatkan pergerakan mereka di Afghanistan,” katanya kepada pemberita pada taklimat media.
Penguasaan Taliban mendorong AS dan penyumbang lain memotong bantuan kewangan kepada Afghanistan, di mana negara itu bergantung sepenuhnya kepada bantuan dalam tempoh perang selama 20 tahun.
Selain itu, AS membekukan AS$9.5 bilion aset milik bank pusat Afghanistan dan mengasingkan negara itu daripada sistem kewangan global, sekali gus melumpuhkan banknya.
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata hampir 23 juta orang, iaitu kira-kira 55 peratus daripada penduduk Afghanistan berdepan tahap kelaparan melampau, dengan sembilan juta berisiko mengalami kebuluran.
Qureshi menegaskan, jika OIC tidak bertindak sekarang, maka krisis di Afghanistan akan menjadi bencana kemanusiaan terbesar di dunia.
“Semua yang anda sudah laburkan di Afghanistan dalam tempoh 20 tahun lalu dalam pendidikan dan sektor lain akan musnah. Keuntungan yang diperoleh dunia akan hilang.
“Pemangku Menteri Luar Afghanistan, Amir Khan Muttaqi, turut dijadualkan menghadiri sesi OIC kali ini.
“Ini memberi peluang kepada masyarakat antarabangsa menyuarakan kebimbangan dan harapan mereka terhadap Afghanistan,” kata Qureshi.
– AGENSI