Sekurang-kurangnya sejuta kanak-kanak di Lubnan berisiko mengalami pelbagai bentuk keganasan, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Dalam laporannya, UNICEF menyebut krisis ekonomi yang semakin meruncing di negara Arab itu sebagai punca utama bahaya keganasan yang dihadapi oleh kanak-kanak di Lubnan.
“Satu daripada dua kanak-kanak di Lubnan berisiko serius mengalami keganasan fizikal, emosi atau seksual ketika keluarga bergelut menghadapi krisis yang semakin meruncing di negara itu,” kata UNICEF.
Menurut laporan itu, kanak-kanak seawal usia enam tahun kini bekerja di ladang, di jalanan dan menjual bahan api secara haram, meletakkan mereka berisiko melecur atau kematian.
UNICEF berkata, kanak-kanak negara itu juga sering terdedah kepada ancaman lain seperti penderaan, keganasan dan eksploitasi seksual.
“Jumlah kes penderaan dan eksploitasi kanak-kanak yang dikendalikan oleh UNICEF dan rakan kongsi meningkat hampir separuh (44 peratus) antara Oktober 2020 dan Oktober 2021 iaitu daripada 3.913 kepada 5,621 kes.
“Apatah lagi, kira-kira 1.8 juta kanak-kanak dipercayai mengalami kemiskinan pelbagai dimensi, meningkat daripada 900,000 pada 2019,” katanya yang turut mendedahkan bahawa kanak-kanak terbabit berisiko dipaksa bekerja buruh dan berkahwin.
Laporan itu menyebut, bahawa Lubnan kini sedang lumpuh akibat kegawatan ekonomi termasuk pandemik COVID-19 serta kesan letupan besar di Beirut pada Ogos tahun lalu.
– Agensi