Seorang bilionair Jepun kembali ke bumi hari ini selepas 12 hari berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebagai pelancong angkasa lepas.
Sebelum ini, beliau berkongsi video sedang menjalani kehidupan biasa di ruang angkasa termasuk memberus gigi dan pergi ke bilik air.
Bilionair fesyen dalam talian, Yusaku Maezawa dan pembantunya, Yozo Hirano, mendarat di Kazakhstan sekitar jam 03.13 GMT (11.13 pagi waktu Malaysia) hari ini, bersama angkasawan Russia, Alexander Misurkin.
Rakaman dari lokasi pendaratan, kira-kira 150 kilometer (kmu) di tenggara bandar Zhezkazgan, Kazakhstan, menunjukkan ketiga-tiganya tersenyum selepas dibantu keluar dari pesawat Soyuz sebelum dipindah masuk ke sebuah kenderaan lain.
“Kru dalam keadaan baik,” kata seorang pengulas di NASA TV, menterjemah komen dari misi kawalan Russia.
Perjalanan mereka menandakan kembalinya pelancongan angkasa lepas Russia selepas sedekad lalu, yang menyaksikan peningkatan persaingan daripada Amerika Syarikat (AS).
Ketiga-tiga mereka menghabiskan 12 hari di makmal angkasa, di mana pelancong Jepun itu mendokumentasikan kehidupan harian mereka di ISS untuk disiarkan di saluran YouTube popular Maezawa.
Bercakap kepada sejuta pengikutnya di YouTube sebelum ini, jutawan berusia 46 tahun itu menerangkan cara menggosok gigi dan pergi ke bilik air di angkasa.
Dalam salah satu video itu, beliau menjelaskan secara terperinci urusan kehidupannya di ISS.
“Membuang air kecil adalah sangat mudah,” katanya sambil menunjukkan corong pegang tangan yang digunakan angkasawan untuk membuang air kencing mereka.
Dalam video lain, dia menunjukkan pengikutnya cara minum teh dengan betul dan tidur dalam kedudukan graviti sifar.
Sebaik tiga pengembara angkasa ini tiba di ISS pada 8 Disember, mereka kemudian menyertai kru tujuh pasukan yang terbabit dalam penyelidikan biologi dan fizik angkasa.
Maezawa merancang untuk membawa lapan orang bersamanya dalam misi mengelilingi bulan pada 2023, dikendalikan SpaceX milik Elon Musk.
Beliau dan pembantunya menjadi rakyat Jepun pertama melawat angkasa sejak wartawan, Toyohiro Akiyama, mengunjungi stesen Mir pada 1990.
Kepulangan mereka dari angkasa dianggap ramai pihak sebagai titik perubahan kepada pelancongan angkasa lepas.
Russia mempunyai sejarah menghantar pelancong atas pembiayaan sendiri ke angkasa lepas, dengan agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos, turut berjaya membawa tujuh pelancong ke ISS sejak 2001.
Kali terakhir ialah pengasas bersama Cirque du Soleil Kanada, Guy Laliberte, pada 2009, yang digelar badut pertama di angkasa.
Pada Oktober, Russia menghantar angkasawan tidak terlatih pertamanya ke angkasa lepas sejak lawatan Laliberte, selain menghantar seorang pelakon Russia dan pengarah ke ISS, di mana mereka merakam adegan untuk filem pertama di orbit.
Moscow berhenti menghantar pelancong ke angkasa lepas selepas NASA menghentikan projek Space Shuttle pada 2011, yang menyebabkan Russia memiliki monopoli untuk penghantaran ke ISS.
– AFP