Agensi Perubatan Eropah (EMA) akan membuat keputusan hari ini berhubung kelulusan penggunaan suntikan vaksin COVID-19 keluaran Novavax.
Agensi itu berkata, jawatankuasa khas ubat untuk manusia EMA mengadakan mesyuarat luar biasa (EGM) untuk memutuskan penggunaan vaksin Novavax, hari ini.
“Kita akan memutuskan hari ini mengenai kelulusan penggunaan suntikan vaksin COVID-19 dihasilkan Novavax,” kata EMA.
Kesatuan Eropah (EU) menandatangani perjanjian membeli sehingga 200 juta dos vaksin dua suntikan sementara menunggu kelulusan badan pemerhati berpangkalan di Amsterdam.
Novavax berkata, vaksinnya menunjukkan keberkesanan 90.4 peratus terhadap COVID-19 dalam ujian dijalankan di Amerika Utara.
Ketua Eksekutifnya, Stanley Erck berkata, firma itu ‘tidak sabar’ untuk menyediakan vaksin tambahan di Eropah, dibina di atas platform teknologi yang terbukti dan difahami dengan berkesan.
“Vaksin itu mampu membantu menangani halangan utama dalam program vaksinasi global, termasuk cabaran mengagihkannya ke peringkat global dan keraguan terhadap vaksin,” katanya.
Penyelidikan menunjukkan semua vaksin berfungsi dengan ‘mengajar’ sistem imun badan untuk menyerang coronavirus, tetapi ia melakukannya dengan cara yang berbeza.
Teknologi sub-unit protein Novavax sudah dicuba dan diuji, termasuk digunakan selama beberapa dekad untuk vaksin orang menghidap hepatitis B dan batuk kokol.
Ini juga bermakna ia tidak perlu disimpan dalam suhu ultra-rendah, berpotensi memberikan kelebihan logistik berbanding beberapa jenama lain.
Vaksin Novavax, dicipta berasaskan protein, digunakan di seluruh dunia untuk melindungi penyakit membabitkan kanak-kanak, dijangka menjadi suntikan coronavirus kelima dibenarkan EU.
Kelulusan juga akan menjadi rangsangan untuk syarikat Maryland, yang jabnya telah dibelenggu oleh kelewatan.
Indonesia dan Filipina sudah meluluskan penggunaan vaksin Novavax manakala Jepun bersetuju membeli 150 juta dos setakat ini.
Novavax berkata, syarikat itu turut memohon kelulusan di Britain, India, Australia, New Zealand dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
– AFP