Kerajaan Indonesia mengambil keputusan untuk menangguh kebenaran pelaksanaan ibadah umrah sehingga tahun hadapan.
Tindakan itu diambil susulan daripada penularan varian baharu COVID-19, Omicron yang semakin memburuk di negara ini.
Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini meminta rakyatnya untuk tidak ke luar negara dan pengumuman itu turut terpakai kepada mereka yang mahu mengerjakan umrah.
Ketua Pengarah Haji dan Umrah (PHU) di Kementerian Agama, Hilman Latief menyifatkan, keputusan tersebut sebagai perit namun semua pihak perlu menerimanya demi keselamatan bersama.
Katanya, keputusan berkenaan dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan bersama Persatuan Penganjur Kembara Umrah (PPIU).
“Secara umumnya, persatuan PPIU memahami dan mematuhi rayuan untuk tidak ke luar negara,” katanya.
Indonesia sebelum ini mengesan dua lagi kes varian Omicron, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak tiga kes, kata pegawai Kementerian Kesihatan.
Dua kes baharu itu melibatkan lelaki berusia 42 tahun yang tiba dari Afrika Selatan dan lelaki berusia 50 tahun dari Britain, dikaitkan dengan lima kes disyaki Omicron yang diumumkan pada Khamis.
– Ismaweb