Lebih 100 pejuang kumpulan Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP), terbunuh termasuk beberapa komander kanan mereka dalam serangan udara dilancarkan tentera, minggu lalu.
Seorang pegawai tentera kerajaan di wilayah itu mengesahkan jumlah pejuang terkorban dalam serangan udara di tiga kem pejuang ISWAP dekat Marte, timur laut negara ini.
“Serangan udara itu adalah rancangan rapi selepas laporan risikan mengesahkan kehadiran sejumlah besar pemberontak di tiga lokasi terbabit,” kata pegawai tentera itu.
Sumber perisikan Nigeria di wilayah itu berkata, sukar untuk memberikan angka tepat jumlah yang terkorban tetapi mengesahkan lebih 100 pejuang terbunuh.
“Ini kerana sebilangan besar pejuang ISWAP berpindah ke tiga kem sebelum itu berikutan serangan jet pejuang di kampung lain,” katanya.
Sementara itu, seorang nelayan tempatan di wilayah itu berkata, kumpulan militan itu mengalami kecederaan yang besar.
“Mereka terjejas teruk dalam serangan baru-baru ini dan lebih 100 mayat dikebumikan di kampung Tudun Giginya,” katanya yang enggan identitinya didedahkan.
ISWAP mengukuhkan kuasanya di wilayah Tasik Chad sejak kematian ketua kumpulan Boko Haram pada Mei ketika pertelingkahan antara kedua-dua kumpulan itu awal tahun ini.
ISWAP berpecah daripada Boko Haram pada tahun 2016 dan sejak itu menjadi kuasa pemberontak dominan dalam konflik Nigeria.
Kumpulan itu sering menyasarkan tentera dalam pemberontakan, mengakibatkan lebih 40,000 terbunuh sejak tahun 2009.
– AFP