Indonesia sedang menilai langkah keselamatan sedia ada untuk melindungi rakyatnya daripada COVID-19 dan varian Omicron selepas kes pertama varian baharu itu dikesan, minggu lalu.
Beberapa langkah sedang dibincangkan termasuk melanjutkan kuarantin wajib bagi ketibaan antarabangsa kepada 14 hari berbanding 10 hari.
“Perbincangan sedang berjalan berdasarkan kepada perkembangan situasi varian baharu itu,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan.
Beliau berkata pihak berkuasa mungkin membuka Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda Surabaya sebagai pintu masuk kedua untuk pengembara antarabangsa berikutan peningkatan ketibaan jumlah pelancong di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Jakarta.
Luhut meminta pegawai negeri dan rakyat supaya tidak melancong ke luar negara, sekurang-kurangnya sehingga keadaan COVID-19 bertambah baik.
“Saya mohon anda semua pertimbang untuk tidak ke luar negara dan menangguhkan semua perjalanan tidak penting. Kami tidak mahu situasi sukar seperti Julai lalu berulang,” katanya,
Indonesia mengatasi India pada 13 Julai lalu, sebagai pusat baharu pandemik di Asia, dengan jangkitan harian melebihi 40,000 kes selama dua hari berturut-turut, dua minggu selepas Aidilfitri.
Sementara itu, Indonesia menambah lebih banyak negara ke dalam senarai larangan kemasukannya semalam selepas tiga kes import varian Omicron dikesan dengan sejarah perjalanan dari Nigeria, Amerika Selatan dan United Kingdom (UK).
Negara yang dimasukkan ke dalam senarai merah ialah UK, Norway dan Denmark manakala Hong Kong dikeluarkan daripada senarai.
Sebelum ini, Indonesia mengenakan larangan kepada bukan warganegara yang dalam tempoh 14 hari lalu pernah mengunjungi Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Lesotho, Mozambique, Eswatini, Malawi, Angola dan Zambia.
Di peringkat domestik, pentadbiran Presiden Joko Widodo melanjutkan sekatan aktiviti awam di luar Jawa dan Bali sehingga sekurang-kurangnya 3 Januari ini disebabkan cuti Krismas dan Tahun Baharu.
Dalam ucapannya kelmarin, Joko menyeru semua kementerian dan agensi supaya sepakat dalam melaksanakan komitmen masing-masing untuk menghadapi tempoh kritikal pada Disember.
Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah kes positif COVID-19 yang disahkan meningkat sebanyak 216 berbanding hari sebelumnya kepada 4,260,893 kes setakat semalam.
Angka korban pula sebanyak 11 ke 144,024 dan jumlah pesakit pulih meningkat 205 kepada 4,112,040. Negara ini memberikan 261 juta dos vaksin COVID-19.
– BERNAMA