New Zealand menangguhkan rancangan pembukaan semula sempadannya secara berperingkat sehingga akhir Februari tahun depan berikutan kebimbangan penyebaran varian Omicron di peringkat global ketika ini.
Menteri Hal Ehwal COVID-19, Chris Hipkins, berkata keputusan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga kerana masih belum jelas bagaimana Omicron menyebabkan penyakit kepada manusia dan kesannya terhadap sistem kesihatan belum difahami sepenuhnya.
Katanya, menerusi keputusan baharu ini, perjalanan tanpa kuarantin yang sepatutnya dibuka untuk warga New Zealand di Australia mulai 16 Januari, turut ditunda sehingga akhir Februari nanti.
“Tidak dinafikan ini (penangguhan) mengecewakan dan akan mengganggu banyak rancangan percutian, tetapi penting untuk menetapkan perubahan ini supaya mereka mempunyai masa mempertimbangkan rancangan mereka.
“Semua bukti setakat ini menunjukkan Omicron adalah varian COVID-19 yang paling mudah menular,” katanya pada sidang media, semalam.
New Zealand baru saja melonggarkan beberapa langkah pandemik paling ketat di dunia dan sekatan sempadan antarabangsanya sepatutnya dilonggarkan mulai Januari ini manakala semua pelancong asing dibenarkan masuk ke negara itu mulai April nanti.
Menerusi keputusan baharu itu, tempoh tinggal di kemudahan kuarantin negeri (MIQ) akan ditingkatkan daripada seminggu kepada 10 hari manakala keperluan ujian sebelum berlepas untuk memasuki negara itu dikurangkan daripada 72 jam kepada 48 jam.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern dilaporkan berkata, keputusan itu diambil bagi membolehkan kerajaan mempunyai lebih masa untuk bersedia menghadapi Omicron.
“Kami melakukan segala yang mampu untuk memastikan kami bersedia,” katanya.
New Zealand setakat ini merekodkan 22 kes jangkitan Omicron tetapi semuanya di kemudahan kuarantin sempadan dan tiada kes membabitkan penduduk tempatan.
– AGENSI