Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci memberi amaran mengenai ‘tekanan’ sistem hospital semakin bertambah susulan penularan varian Omicron di AS dan seluruh dunia, lapor Xinhua.
“Jika keadaan hospital kita seperti sekarang, dalam satu atau dua minggu lagi, hospital akan menerima lebih banyak kemasukan,” kata Fauci dalam temu bual dengan ABC, baru-baru ini.
Paling membimbangkan ialah lonjakan baharu boleh menimbulkan masalah kepada sistem perubatan jika disertai dengan peningkatan kadar kemasukan ke hospital, terutamanya dalam kalangan rakyat Amerika yang tidak divaksin atau tidak menerima suntikan penggalak.
Omicron menjadi varian COVID-19 yang dominan di AS kerana lebih ramai pergi melancong dan berkumpul untuk bercuti.
Varian itu dikesan sekurang-kurangnya di 48 negeri di AS sejak kes pertama dilaporkan di California pada 1 Disember lalu.
– BERNAMA