Rebat levi pekerja asing berjumlah SGD250 (RM771) akan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan bagi semua pemegang permit kerja sektor binaan, limbungan marin dan proses (CMP).
Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dalam satu kenyataan semalam, berkata rebat yang diperkenalkan tahun lalu untuk membantu sektor berkenaan menangani cabaran akibat pandemik COVID-19 sepatutnya berakhir bulan ini.
MOM memaklumkan bahawa ia sedar sektor berkenaan masih menghadapi cabaran seperti kekurangan tenaga pekerja dan kos yang semakin meningkat, yang mana lanjutan rebat itu akan memanfaatkan sekitar 15,000 syarikat.
Pihak majikan boleh menggunakan rebat itu untuk mengekalkan pekerja sedia ada dan menggajikan pemegang permit kerja baru daripada negara serta rantau berisiko rendah, kata MOM.
Pengumuman lanjutan itu diumumkan ketika bilangan pekerja asing yang memasuki Singapura dalam sektor terjejas itu meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan.
Oleh itu, satu keputusan akan dibuat menjelang Mac 2022, selepas memastikan jika terdapat keperluan untuk melanjutkan lagi rebat itu.
Biarpun demikian, MOM menggesa majikan untuk ‘bertahan dan meneruskan usaha mempertingkat kadar produktif buat jangka masa panjang’.
Katanya, pengalaman itu akan membolehkan mereka kekal beroperasi dengan tenaga manusia yang terhad serta berupaya untuk bertahan daripada gangguan tenaga manusia yang bakal berlaku pada masa mendatang.
Pada masa yang sama, pengecualian bagi Levi Pekerja Asing (FWL) untuk semua pekerja asing, termasuk pembantu rumah, turut dilanjutkan hingga Disember 2022 walaupun ia juga sepatutnya tamat bulan ini.
Levi itu akan dikecualikan sepanjang tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan program sehenti kediaman di Pusat Sehenti Pekerja Migran (MWOC).
MOM berkata lanjutan pengecualian itu boleh membantu majikan menangani kos yang perlu ditanggung bagi mematuhi peraturan sempadan untuk mengurangkan risiko mengimport jangkitan COVID-19.
– AGENSI