Pendakwa Raya Belanda berkata tiga suspek dari Russia dan seorang dari Ukraine ‘bertanggungjawab sepenuhnya’ menembak jatuh pesawat MH17.
Mereka menegaskan, kesemua suspek patut didapati bersalah atas tuduhan membunuh kerana menembak jatuh pesawat milik Malaysia Airlines itu ketika melalui ruang udara Ukraine Timur pada 2014.
Menurut Pendakwa Raya, Thijs Berger, keempat-empat suspek lelaki itu, yang kesemuanya masih bebas, boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
“Mereka menghadapi tuduhan membekalkan peluru berpandu yang digunakan pemberontak disokong Russia untuk menembak jatuh pesawat penumpang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
“Kesemua empat suspek ini bertanggungjawab sepenuhnya menembak jatuh pesawat MH17, yang mengakibatkan kematian 298 penumpang dan kru, mereka dibunuh,” katanya kepada hakim pada hari kedua mengemukakan hujah penutup.
Pihak pendakwa raya berkata bukti menunjukkan suspek berkenaan, warga Russia, Oleg Pulatov, Sergey Dubinsky dan Igor Girkin serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, berkuasa sepenuhnya di kawasan di mana MH17 ditembak jatuh.
Empat suspek berkenaan dikenal pasti oleh kumpulan antarabangsa Pasukan Penyiasat Bersama yang meneliti kemalangan membabitkan penerbangan MH17 dan kemudian dinamakan sebagai tertuduh oleh pendakwa raya Belanda.
menurut pendakwa raya, semua lelaki berkenaan ada kaitan dengan kumpulan pemberontak disokong Russia dan MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu Buk buatan Russia yang dibawa ke lokasi berkenaan.
Di bawah undang-undang Belanda, tertuduh tidak semestinya secara peribadi memetik picu bagi melepaskan tembakan, sebaliknya suspek yang mendorong orang lain melakukan jenayah boleh didakwa sebagai pelaku utama.
Menurut pihak pendakwa raya Belanda, tuntutan supaya hukuman dijatuhkan segera dibuat hari ini, selepas perbicaraan 20 bulan.
Tiada susupek hadir di mahkamah tetapi seorang suspek, Pulatov, diwakili peguam manakala suspek lain tidak pernah bekerjasama dengan pihak mahkamah dan dibicarakan tanpa hadir.
– AGENSI