Pegawai tertinggi Palestin mengkritik dasar Presiden negara pembuli – Amerika Syarikat (AS) – Joe Biden terhadap isu-isu berkaitan Palestin.
Ahli Jawatankuasa Pusat Pergerakan Fatah, Sabri Saidam berkata, Biden seolah-olah tiada beza dengan presiden terdahulu, Donald Trump kerana dengan mudah menyerah dalam isu penindasan Israel ke atas rakyat Palestin.
Katanya, rakyat Palestin melihat pentadbiran Biden sebagai ‘generasi kedua’ daripada perjanjian ‘mengarut’ yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Abad Ini’ – merujuk rancangan politik dikemukakan Trump kononnya untuk menamatkan konflik Palestin-Israel.
“Kepimpinan Palestin mahukan tindakan, bukan hanya melalui kata-kata daripada pentadbiran Biden,” kata Saidam.
Saidam berkata, Washington di bawah Biden hanya menawarkan rakyat Palestin ‘layanan mulut’ tanpa sebarang perubahan ketara dalam dasar, kecuali mengembalikan sokongan kewangan kepada agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA.
AS adalah penderma terbesar UNRWA, namun pembiayaan ke atas agensi itu dipotong oleh Trump pada 2018, sebelum Biden memulihkan semula dasar itu tahun lalu.
Agensi itu membiaya ribuan rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat, Semenanjung Gaza, Jordan, Syria dan Lubnan menerusi pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan makanan.
“Memang ada kata-kata positif pada tahap hubungan dengan AS. Namun, apa yang disaksikan hanyalah lisan, keputusan dan tindakannya kosong setakat ini,” katanya.
Menurut Saidam, apa yang paling dituntut oleh rakyat Palestin adalah melancarkan semula proses damai dengan Israel, atas dasar penyelesaian dua negara.
Rundingan damai antara Palestin dan Israel gagal pada 2014 kerana keengganan Tel Aviv membebaskan tahanan Palestin dan menghentikan perluasan penempatan haram Yahudi.- Agensi