Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memperbaharui perjanjian untuk memberi komitmen kepada pelarian Palestin, termasuk di beberapa wilayah bergolak.
Kedua-dua agensi PBB itu dalam satu kenyataan bersama berkata, sokongan itu khusus kepada kanak-kanak, wanita dan remaja pelarian Palestin di negara berkenaan, termasuk di Jordan, Lubnan serta Syria.
Timbalan Pesuruhjaya Agung UNRWA, Leni Stenseth berkata, kerjasama itu memfokuskan perlindungan kanak-kanak dan sosial, pendidikan, kesihatan, advokasi serta persediaan kecemasan.
“Bekerjasama atas usaha ini akan menambah baik dan meningkatkan jenis sokongan serta advokasi yang diperoleh pelarian Palestin.
“UNRWA percaya gabungan perlindungan, kesihatan, pendidikan dan advokasi dapat mengurangkan kesan konflik dan keganasan terhadap kanak-kanak serta menyumbang kepada kesejahteraan mereka,” katanya.
UNRWA dan UNICEF berkata, kedua-dua agensi terbabit akan menjalankan kajian, analisis situasi wanita serta kanak-kanak dan menyelidik perubahan sosial melalui norma jantina dan amalan yang berbahaya.
Kerjasama itu sekali gus meningkatkan penyelarasan kemanusiaan termasuk ketika krisis, selain meningkatkan kapasiti menganalisis risiko dan kesediaan untuk mengurangkan krisis.
Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Ted Chaiban mengakui berbesar hati dengan komitmen membantu pelarian Palestin melalui perjanjian ini.
“UNICEF dan UNRWA telah bekerjasama selama beberapa dekad.
“Dengan perjanjian ini, kami akan terus memajukan program untuk kanak-kanak, menyediakan bantuan teknikal, meningkatkan sokongan dan pembelajaran digital, pemberian vaksin COVID-19 dan advokasi hak kanak-kanak,” katanya .
– Agensi