Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembunuhan seorang remaja dalam serangan tentera pengganas Israel di sebuah kampung dekat Ramallah, semalam.
Shtayyeh menyifatkan pembunuhan oleh pasukan rejim pada pagi semalam terhadap Nihad Barghouti, 19, dari kampung Kufr Ein sebagai ‘keganasan terancang’.
Justeru, beliau mendesak Israel untuk menghentikan keganasan itu dan menghukum mereka yang bersalah.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar Negeri Palestin turut mengecam insiden itu dan menyifatkannya sebagai siri pembunuhan di luar undang-undang yang dilakukan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
Kementerian itu turut menyifatkan tindakan Israel sebagai sebahagian daripada jenayah keganasan pihak berkuasa rasmi penjajah.
Sehubungan itu, masyarakat antarabangsa digesa untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin di bawah pendudukan, dan mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa memulakan siasatan segera ke atas jenayah penjajahan rejim.
– Agensi