Dua pertempuran berasingan antara rakyat Palestin dan askar Israel berlaku di kampung Abu Dis, Baitulmaqdis timur dan di bandar Hebron, Tebing Barat semalam.
Sumber memberitahu, tentera pengganas Israel menyerang pelajar Universiti Al-Quds di Abu Dis selepas mengadakan perhimpunan protes menyokong penduduk Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Protes itu diadakan bagi memerangi pengusiran oleh pihak berkuasa Israel demi kepentingan pendatang haram Yahudi, selain menyokong tahanan Palestin di penjara Israel.
Sumber berkata, askar Israel melepaskan gas pemedih mata ke arah pelajar dan di sekitar kampus universiti sehingga menyebabkan beberapa mereka sesak nafas serta menganggu aktiviti kelas.
Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam insiden itu.
Sementara di Hebron, tentera mengejar penduduk Palestin berhampiran bandar lama – berada di bawah kawalan Israel – sambil melepaskan gas pemedih mata serta bom bunyi ke arah mereka sehingga memaksa kedai-kedai di kawasan itu ditutup.
Terdahulu, beberapa rakyat Palestin dilaporkan cedera ketika konfrontasi dengan tentera pengganas Israel di kem pelarian Arroub, utara Hebron.- Agensi