Hampir 450 tahanan Palestin di penjara Israel kini memboikot mahkamah selama 65 hari dengan menolak untuk hadir ke perbicaraan sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbiran yang dilihat tidak adil.
Boikot berkenaan termasuk pendengaran bagi memperbaharui perintah penahanan pentadbiran serta rayuan di Mahkamah Agung Israel.
Dalam tempoh 10 hari kebelakangan ini, tahanan pentadbiran Palestin yang berdepan masalah kesihatan kronik di Penjara Ofer turut memboikot klinik penjara sebagai tanda bantahan terhadap dasar tidak adil penahanan tanpa perbicaraan.
Tahanan berkenaan berkata, tindakan mereka merupakan kesinambungan kepada usaha lama yang dilakukan tahanan Palestin sebelum ini bagi menamatkan penahanan pentadbiran.
Di bawah tahanan pentadbiran, rejim Zionis menahan rakyat Palestin tanpa perbicaraan sehingga enam bulan dan tempoh berkenaan boleh dilanjutkan tanpa sebarang had.
Golongan wanita dan kanak-kanak bawah umur juga antara tahanan berkenaan di atas arahan komander tentera di bawah polisi bukti rahsia.
Malah, ada tahanan yang terpaksa meringkuk di penjara tanpa dibicara sehingga 11 tahun.
Kumpulan hak asasi manusia dan penduduk Palestin menyifatkan penahanan pentadbiran tersebut sebagai melanggar hak untuk proses yang sewajarnya.
Malah sehingga kini tahanan masih meneruskan mogok lapar secara terbuka sebagai menyatakan bantahan terhadap penahan tanpa sebab berkenaan.
Setakat ini lebih 4,500 rakyat Palestin ditahan di 17 buah penjara di negara haram Israel.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 450 tahanan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak bawah umur.
Kumpulan hak asasi manusia menggambarkan pelaksanaan penahanan pentadbiran oleh Israel sebagai ‘taktik’ dan telah lama menggesa supaya polisi itu ditamatkan.