Rusia menyekat Facebook dan beberapa laman sesawang lain serta meluluskan undang-undang yang memberikan Moscow lebih kuasa untuk menghalang kewartawanan Barat.
Ini menyebabkan beberapa media Barat seperti BBC dan Bloomberg, menggantung laporan berita dari negara itu.
Pencerobohan Rusia terhadap Ukraine yang memasuki hari ke-10 pada hari ini, menyaksikan tentera Rusia mengepung dan mengebom bandar negara itu dalam serangan terbesar ke atas sebuah negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Pertempuran juga menyebabkan lebih satu juta penduduk Ukraine menjadi pelarian, pelbagai sekatan yang semakin mengasingkan Moscow dan ketakutan Barat terhadap konflik global lebih meluas yang tidak pernah terfikir selama beberapa dekad.
Moscow menyatakan bahawa pencerobohan di Ukraine adalah `operasi khas’ untuk menangkap individu yang dianggap sebagai nasionalis berbahaya dan menafikan menjadikan orang awam sebagai sasaran.
Perkhidmatan Komunikasi Khas dan Perlindungan Maklumat Ukraine pula menyatakan tentera Rusia menumpukan usaha untuk mengepung ibu negara, Kyiv dan bandar kedua terbesar, Kharkiv, dengan matlamat mewujudkan jambatan darat ke Crimea.
Kyiv selepas beberapa hari senyap diserang semula, dengan letupan kedengaran dari pusat bandar.
Media Ukraine, Suspilne, memetik pihak berkuasa di Sumy yang terletak kira-kira 300 kilometer timur Kyiv, sebagai berkata, terdapat risiko pertempuran di jalan-jalan di bandar itu dan menggesa penduduk tinggal di pusat perlindungan.
Tentera Rusia juga mengepung dan membedil bandar pelabuhan tenggara Ukraine, Mariupol. Tiada air, pemanas atau elektrik dan makanan kehabisan, kata Datuk Bandar, Vadym Boychenko.
“Kami dimusnahkan,” katanya.
Tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengundang kecaman hampir seluruh dunia dan banyak negara mengenakan sekatan ketika Barat berhati-hati bagi mengelak konflik menjadi semakin meluas.
Melawan balik perang maklumat, Parlimen Rusia meluluskan undang-undang, semalam, yang mengenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun kerana menyebarkan berita palsu dengan sengaja mengenai tentera.
“Undang-undang ini akan mengenakan hukuman yang sangat berat terhadap mereka yang berbohong dan membuat kenyataan memburukkan angkatan tentera kita,” kata Pengerusi Duma, dewan rendah Parlimen Rusia, Vyacheslav Volodin.
Rusia menyekat Facebook kerana mengehadkan saluran yang disokong kerajaan negara itu serta laman sesawang BBC, Deutsche Welle dan Voice of America.
CNN dan CBS News pula menyatakan akan menghentikan penyiaran di Rusia, manakala saluran televisyen lain tidak meletakkan nama wartawan yang berpangkalan di Rusia dan pada masa sama menilai keadaan di negara itu.