Lima buah rumah dihanyutkan dan lebih 50 rumah lagi terjejas akibat banjir di Kampung Terusan, Rantau Panjang, Kelantan, pada 27 Februari lalu.
Sudah pelbagai pihak tampil memberikan bantuan, malah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada kunjungannya ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu baru-baru ini juga mengumumkan kerajaan akan membina rumah baru bagi menggantikan rumah yang hanyut.
Selain itu sumbangan daripada wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan individu turut tiba silih berganti.
Menurut penduduk, banjir yang melanda Kampung Terusan kali ini adalah yang terburuk pernah melanda.
Wakil penduduk Ariffin Ismail, 60, meluahkan rasa betapa mereka berharap Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob atau timbalannya Mohd Amar Abdullah berkunjung ke kampung itu untuk melihat sendiri keadaan mereka.
Katanya, penduduk sememangnya sering dikunjungi pelbagai pihak termasuk Anggota Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusof, namun kehadiran orang nombor satu negeri sangat dinanti-nantikan.
“Kami mahu menteri besar datang lihat keadaan kampung, atau timbalan. Kami mahu mengadu nasib.
“Banjir kali ini paling teruk berbanding keadaan sebelum ini, marilah tengok kami,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui, hari ini.
Mangsa, Mariam Mamat, 80, berkata dia diberitahu rumahnya hanyut ketika hari kedua berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, dia sangat terkejut dengan kejadian itu memandangkan sudah 63 tahun mendiami rumah tersebut.
“Saya tinggal bersama anak menantu dan lapan cucu di rumah ini. Buat masa sekarang kami menumpang di surau kampung sementara anak carikan rumah sewa.
“Rasa syukurlah sebab kerajaan nak bagi rumah baru dan wakil rakyat nak tampung bayaran rumah sewa sementara rumah baru siap,” katanya.
Bagi Mohd Rodi Zakaria, 54, dia sekeluarga berharap rumah baru yang akan dibina kerajaan tidak memakan masa yang panjang untuk siap.
“Buat masa ini saya dan isteri bersama enam anak kami menumpang di rumah mak.
“Memang buntu juga memikirkan keadaan rumah yang hanyut. Sekarang rasa lega apabila kerajaan mahu ganti,” ujarnya.
Sementara itu seorang lagi mangsa, Limah Awang Senik, 70, berkata rumahnya yang hanyut itu mempunyai kenangan tersendiri kerana dibina arwah suaminya dengan hasil bekerja di Singapura.
“Rumah ini arwah suami bina sedikit demi sedikit dengan bekerja di Singapura dulu.
“Mak cik reda dengan apa yang berlaku, dan berharap rumah yang diganti nanti akan dibina secepat mungkin,” katanya lagi.