Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan bahawa dia melobi agar dilantik sebagai menteri besar jika Umno menang dalam PRN Johor.
Puad yang bertanding di DUN Rengit berkata isu itu tidak berbangkit kerana Umno telah memutuskan Hasni Mohammad sebagai calon menteri besar.
Hasni merupakan penyandang jawatan itu dan juga Pengerusi BN Johor.
“Tak timbul soal saya melobi untuk menjadi MB. Bahkan sayasudah mekalumkan kepada Hasni jika saya menang, saya tak mahu apa-apa jawatan dalam kerajaan negeri.
“Jadi kalau jadi exco pun saya tak nak, apatah lagi jadi MB,” katanya ketika bercakap dengan Malaysiakini hari ini.
Terdahulu hari ini, Wan Saiful dalam kenyataan mendakwa Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mahu meletakkan calonnya sendiri sebagai menteri besar.
Wan Saiful mendakwa calon tersebut adalah Puad, yang dilihat sebagai penyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak, yang telah disabit bersalah atas pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.
Puad bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai usaha untuk melaga-lagakan pihak dalam Umno Johor.
Katanya, kenyataan Wan Saiful bersifat fitnah dan dibuat kerana Bersatu tiada isu untuk digunakan terhadap Umno.
“Sebab dia tahu cakap pasal kluster mahkamah tak laku, pasal 1MDB tak laku. Jadi dia mainkan isu ini,” katanya merujuk gelaran yang digunakan sejumlah pihak terhadap pemimpin Umno yang sedang berdepan perbicaraan mahkamah.