Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett meminta Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky supaya menyerah kepada syarat Russia untuk menamatkan perang di negaranya, lapor media Israel.
Menurut The Jerusalem Post, seorang pegawai Ukraine berkata, Bennett meminta Zelensky untuk menerima syarat Russia dalam panggilan telefon yang dilakukan antara kedua-duanya.
Bagaimanapun, akhbar Israel melaporkan bahawa Zelensky menolak saranan Perdana Menteri negara haram itu.
“Jika saya adalah anda, saya akan memikirkan kehidupan rakyat saya dan menerima tawaran itu,” kata Bennett dilaporkan mengesyorkan perkara itu, menurut The Jerusalem Post.
Seorang pegawai Ukraine menyatakan: “Bennett menyuruh kami menyerah diri. Kami tidak berniat berbuat demikian. Kami tahu tawaran Putin hanyalah permulaan.”
Mengenai permintaan Kyiv untuk sokongan ketenteraan daripada Israel, pegawai Ukraine itu berkata, negara haram itu meminta Ukraine untuk tidak meminta lebih banyak bantuan ketenteraan dan pertahanan kerana ia boleh menjejaskan usaha pengantaraan yang dijalankan oleh Bennett antara Kyiv serta Moscow.
The Jerusalem Post melaporkan pegawai Ukraine itu menyatakan: “Jika Bennett mahu berkecuali dan menjadi orang tengah, kami akan menjangkakan untuk melihat dia melantik seseorang untuk mengerjakannya siang dan malam dan cuba mendapatkan kompromi.”
Akhbar Israel menjangkakan bahawa rakyat Ukraine percaya bahawa tujuan pengantaraan rejim Zionis berpunca daripada rancangannya untuk tidak mengambil pendirian yang jelas mengenai perang di Ukraine bagi mengekalkan hubungannya dengan Russia.