Negara pengganas Israel dan Mesir bersetuju untuk melancarkan laluan penerbangan terus antara Tel Aviv dan bandar peranginan Laut Merah, Sharm El-Sheikh.
Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan berkata, laluan penerbangan baharu itu dijangka bermula pada April depan.
Isu penubuhan laluan penerbangan baharu pertama kali dibangkitkan antara Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett dan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi ketika pertemuan mereka pada September di Sharm El-Sheikh, katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, perbincangan mengenai langkah keselamatan untuk laluan penerbangan sudah dibincangkan antara perkhidmatan keselamatan Israel, termasuk perkhidmatan perisikan domestik Israel, Shin-Bet dan pihak berkuasa keselamatan Mesir.
“Ini adalah satu lagi langkah dalam ‘menghangatkan’ perjanjian damai antara Israel dan Mesir,” kata Bennett, mengulas mengenai pengumuman itu.
Tiada komen daripada pihak berkuasa Mesir mengenai laporan berkenaan.
Pada September lepas, Bennett melawat Mesir untuk lawatan rasmi pertama dalam tempoh 10 tahun.
Pada tahun 1979, Mesir dan Israel menandatangani perjanjian damai di Washington, menamatkan konflik ketenteraan antara kedua-dua negara.