Ketika perhatian antarabangsa tertumpu pada konflik di Ukraine, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak terkorban dalam perang hampir lapan tahun di Yaman.
Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata, Yaman mungkin tidak lagi menjadi perhatian utama masyarakat antarabangsa ekoran konflik memuncak yang sedang berlaku di Ukraine sejak Februari lalu.
“Yaman mungkin telah surut daripada tajuk utama, tetapi penderitaan rakyatnya tidak reda. Selama tujuh tahun dan sehingga kini angka kematian, kemusnahan, perpindahan, keganasan dan perpecahan masih dihitung.
“Jutaan mereka berdepan kebuluran melampau dan Program Makanan Sedunia terpaksa memotong separuh catuan kerana kekurangan dana. Ini adalah tragedi,” katanya.
Pendedahan tragis Guterres itu dibuat ketika PBB melancarkan rayuan dana sebanyak AS$4.27 bilion bagi menangani krisis kemanusiaan di Yaman.
Kira-kira dua pertiga program PBB telah ditutup sepenuhnya atau dikurangkan di tengah-tengah isu kekurangan dan serta permusuhan yang semakin meningkat.
Pemotongan bantuan telah mengakibatkan catuan makanan dikurangkan untuk lapan juta orang, termasuk pengurangan bagi bekalan air besar dan perkhidmatan berasaskan jantina.
“Kami bersedia untuk terus menyokong rakyat Yaman, tetapi kita tidak boleh lakukannya bersendirian. Kami perlukan bantuan anda.
“Sebagai tanggungjawab moral dan belas ihsan sesama manusia serta perpaduan antarabangsa, kita mesti menyokong rakyat di Yaman,” kata Guterres.