Presiden Itali, Sergio Mattarella menggesa masyarakat antarabangsa perlu memberikan sokongan kepada Lubnan kerana perkara itu merupakan kunci kepada kestabilan Timur Tengah.
Sumber Presiden Itali berkenaan dalam kenyataannya kepada Arab News pada Selasa (22 Mac) berkata, keadaan ekonomi Lubnan yang sukar dan keperluan untuk pelarian Syria pulang ke tanah air mereka ketika ini menjadi dua isu utama yang dibincangkan pada pertemuan panjang antara Mattarella dan Presiden Lubnan, Michel Aoun di sini.
Menteri Luar Negeri Lubnan, Abdullah Bou Habib turut menghadiri mesyuarat di Istana Quirinale, ketika Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berucap di Parlimen Itali melalui pautan video.
Mattarella memberitahu Aoun: “Lubnan adalah kunci kepada kestabilan Timur Tengah. Atas sebab ini, negara ini mesti menerima sokongan dan solidariti yang besar daripada masyarakat antarabangsa supaya ia terus menjamin keselamatannya sendiri dan mengatasi masalah politik, ekonomi dan kemanusiaan yang serius dan mendesak.”
Dalam perbincangan mereka, kedua-dua presiden turut membincangkan isu berkaitan krisis di Ukraine, situasi di Yaman dan Libya, rundingan nuklear dengan Iran, dan situasi umum di Teluk.
Aoun dalam kenyataannya kepada akhbar harian Itali, La Repubblica pula menyatakan bahawa beliau melihat ‘masa depan yang suram untuk Lubnan’ akibat konflik di Ukraine ketika ini
“Krisis keselamatan dan bekalan makanan kini menjadi keutamaan terbesar kami, dan ia lebih penting dalam situasi politik dalaman kami,” katanya.
Sebelum ini, Lubnan mengimport lebih 70 peratus keperluan bijirinnya dari Ukraine dan Rusia, dan menurut Aoun, bekalan bahan makanan berkenaan menjadi sukar untuk diperoleh disebabkan konflik itu
“Lubnan benar-benar memerlukan sokongan, terutamanya berkaitan keperluan makanan kerana kita sedang melalui tempoh kemiskinan tegar yang memberi kesan terutamanya kepada beberapa segmen penduduk,” ujarnya. – Agensi