Delegasi Russia dan Ukraine tiba di Istanbul pada Isnin bagi sesi mesyuarat rundingan damai yang seterusnya, setelah krisis antara dua pihak berterusan lebih sebulan, lapor Agensi Anadolu.
Sebuah pesawat persendirian yang membawa delegasi Rusia mendarat di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul pada 4 petang waktu tempatan (1300GMT) manakala delegasi Ukraine tiba di Istanbul sekitar jam 10 malam waktu tempatan (1900GMT).
Rundingan damai dua hari itu akan diadakan di pejabat presiden Dolmabahce, pada 10.30 pagi waktu tempatan (0730GMT) Selasa.
Beberapa rundingan damai antara Rusia dan Ukraine yang diadakan di Belarus setakat ini tidak membuahkan sebarang hasil.
Turki menjadi tumpuan dunia pada 10 Mac, berikutan negara itu menjadi tuan rumah kepada pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak membabitkan menteri luar Rusia dan Ukraine di bandar Antalya di selatan Turki, sejak krisis tercetus.
Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu, berikutan negara itu menjalin hubungan mesra dengan Rusia dan Ukraine.
Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sekurang-kurangnya 1,151 orang awam terbunuh dan 1,842 yang lain cedera manakala lebih 3.87 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Bernama