Angka kematian orang awam dalam perang Russia-Ukraine dilaporkan meningkat kepada 1,793, manakala jumlah pelarian juga kini melebihi 4.5 juta, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) dalam satu kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 2,439 lagi orang dilaporkan cedera di Ukraine sejak 24 Februari lalu.
Bagaimanapun, agensi itu kekal mengulangi bahawa angka sebenar dijangka jauh lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
“Kebanyakan korban awam yang direkodkan berpunca daripada penggunaan senjata letupan dengan kawasan impak yang luas, termasuk tembakan daripada artileri berat dan sistem roket pelancar berganda serta peluru berpandu dan serangan udara,” kata kenyataan itu.
Data Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan bilangan pelarian perang Ukraine juga meningka kepada 4,503,954 sejak permulaan perang.
Kebanyakan mereka telah pergi ke negara jiran – lebih 2.59 juta ke Poland, 686,232 ke Romania, 419,101 (Hungary), 410,882 (Maldova), 404,418 (Russia), 314,485 (Slovakia) dan 19,096 ke Belarus – menurut angka terkini UNHCR.
Berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal di Ukraine dengan kemas kini daripada Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi awal minggu ini meletakkan jumlah itu pada 7.1 juta. – Agensi