Tentera pengganas Israel menembak mati seorang wanita ketika melintasi pusat pemeriksaan tentera berhampiran perkampungan Husan, barat Baitulmaqdis di Tebing Barat, awal pagi ini.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, wanita berusia 40 tahun itu meninggal dunia di hospital berdekatan bandar Beit Jala, selepas mengalami kerosakan teruk saluran darah.
Wanita itu dikenali sebagai Ghada Ibrahim Sabatien merupakan balu dan mempunyai enam orang anak, lapor agensi berita Wafa.
Terdahulu, tentera rejim Zionis dikatakan melepaskan tembakan amaran ketika wanita malang itu melintasi kawasan berkenaan sebelum menembak terus ke arah kakinya.
Wanita berkenaan kemudian dipindahkan kepada Bulan Sabit Merah untuk rawatan lanjut, kata pasukan tentera sambil menambah pihaknya sedang menyiasat kes tersebut.
Sementara itu, awal pagi tadi, tentera pengganas Israel menyerbu bandar Jenin, utara Tebing Barat berikutan serangan maut di pantai Tel Aviv, Khamis lalu.
Insiden dipercayai dilakukan oleh penduduk di Kem Pelarian Jenin yang mengorbankan tiga lelaki.