Tentera pengganas Israel menembak mati dua rakyat Palestin dalam insiden berasingan ketika rejim itu meningkatkan operasi di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Mangsa pertama adalah seorang remaja lelaki, yang terbunuh di kampung Husan dekat Bethlehem.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, mangsa dikenali sebagai Qusai Hamamra, 14, dan mayat remaja itu ditahan oleh tentera Israel selepas kematiannya.
Sementara di Timur laut Ramallah, tentera Israel turut menembak mati Omar Elayian, 20, ketika menyerbu bandar Silwad dan bahagian lain di bandar itu, kata kementerian.
Selain itu, tentera Zionis menahan tiga pemuda termasuk bekas tahanan Khaldoun al-Barghouti dan Moaz Hamed di Ramallah, beberapa jam selepas mereka melancarkan serbuan awal pagi di sebuah rumah di Silwad, menuntut seorang lagi lelaki muda menyerah diri.
Saksi memberitahu Middle East Eye bahawa tentera Israel melepaskan tembakan ke arah bangunan di Silwad dan menjerit melalui pembesar suara meminta pemuda Palestin itu menyerah diri.
Sementara itu, puluhan penduduk Palestin turun ke jalan untuk berdepan dengan tentera Israel yang melepaskan tembakan ke arah orang ramai di Silwad.
Krew ambulans di bandar itu memberitahu, beberapa orang cedera akibat peluru hidup dan pasukan perubatan tidak dapat mendekati sebahagian daripada mereka sehingga malam semalam.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin berkata, peguam hak asasi manusia Muhammad Hassan Muhammad Assaf, 34, maut selepas ditembak oleh tentera Israel ketika pencerobohan di bandar Nablus.
Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan 31 orang cedera di sekitar Nablus dan kampung berhampiran, termasuk 10 yang terkena tembakan.
Keganasan di Tebing Barat berikutan empat serangan maut di Israel yang menyebabkan 14 orang terbunuh.
Tentera Israel mendakwa, askar juga menjalankan ‘operasi menentang pengganas’ di Jenin dan bandar-bandar Tebing Barat yang lain. – Agensi