Tindakan negara pengganas Israel menceroboh Masjid al-Aqsa di saat umat Islam sedang beribadah di bulan Ramadan adalah satu perbuatan keji dan tidak bertamadun.
Hakikatnya, Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Mohd Noor Azib Asmangi berkata, mereka cemburu dengan kesatuan umat Islam di bulan mulia ini dan sengaja mencari masalah dengan penduduk serta jemaah Palestin.
“Sekarang rakyat Palestin dah bersepakat untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa daripada terus diceroboh. Ini mungkin akan menimbulkan konflik dan peperangan yang berpanjangan.
“Kita menyeru semua pihak untuk turut mengutuk serangan tersebut kerana ia bercanggah dengan perikemanusiaan. Jadi, bukan sahaja NGO Islam, bahkan badan-badan bukan Islam perlu turut bersama mengutuk serangan tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Selain itu, Ustaz Noor Azib turut menyeru seluruh umat Islam mendoakan kesejahteraan Masjid al-Aqsa dan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman Israel sempena bulan Ramadan ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Malaysia mengutuk serangan tentera penjajah Israel ke atas penduduk dan jemaah Palestin di Masjid al-Aqsa.
Malaysia meminta masyarakat antarabangsa memperbaharui tekad bagi mencari penyelesaian terhadap konflik berpanjangan Israel-Palestin.
Kira-kira 150 rakyat Palestin dilaporkan cedera, manakala ratusan lagi ditahan susulan serbuan tentera Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa, Jumaat lalu.