Rusia mendakwa Ukraine kehilangan kira-kira 23,367 anggota tentera sejak operasi ketenteraan di negara itu bermula, lapor Agensi Anadolu.
Menteri Pertahanan Russia, Igor Konashenkov berjanji menerbitkan dokumen yang telah diperoleh daripada tentera Ukraine dan mengesahkan angka itu dalam masa terdekat.
“Kementerian Pertahanan Russia memiliki data yang boleh dipercayai mengenai jumlah sebenar tentera Ukraine yang maut dan (Presiden Volodymyr) Zelenskyy dikatakan bimbang untuk memberitahu rakyat Ukraine mengenai perkara ini.” kata Konashenkov.
Sementara itu, sebanyak 15 peralatan ketenteraan Ukraine dibedil dengan peluru berpandu Russia, termasuk enam pusat senjata dan tujuh kubu kuat tentera Ukraine.
Sekurang-kurangnya 1,982 orang awam terbunuh dan 2,651 lagi cedera sejak permulaan perang, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Lebih 4.8 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara jiran, dan lebih tujuh juta lagi hilang tempat tinggal, menurut agensi pelarian PBB. – Bernama