Pengarah Eksekutif Projek Hak Asasi Manusia Uyghur, Omer Kanat yang lahir di wilayah Xinjiang meluahkan kekecewaan kerana kurangnya tindakan daripada badan dunia untuk mempertahankan hak kemanusiaan etnik Uyghur.
Omer mengulas keputusan tribunal bebas yang berpangkalan di London pada 10 Disember tahun lalu, yang menuduh China melakukan jenayah kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uighur, dengan kawalan kelahiran secara paksa.
“Kami pernah hantar bukti penghapusan etnik oleh China kepada negara-negara dan ahli politik dunia sebagai permintaan untuk mereka mengambil tindakan namun tiada hasil, dan nampaknya sekarang sudah terlewat dan orang Uyghur kini risau akan masa depan mereka.
“Tribunal Uyghur ini sangat penting sebagai satu badan khas untuk menyemak bukti dan testimoni saksi yang dihantar, membuat dapatan dan mencatur perancangan untuk membantu bangsa Uyghur dan memperjuangkan hak mereka,” katanya pada forum anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) petang semalam.
China bagaimanapun menafikan melakukan dasar penghapusan etnik terhadap kumpulan itu.
Tribunal Uyghur ini merupakan tribunal bebas yang mana keputusannya tidak mengikat secara sah di sisi undang-undang.
Ia dipengerusikan oleh peguam Britain, Geoffrey Nice, yang terkenal sebagai pendakwa raya dalam perbicaraan bekas presiden Yugoslav Slobodan Milošević kerana jenayah terhadap kemanusiaan dalam penghapusan etnik Bosnia.
Tribunal itu ditubuhkan pada Jun 2020, berikutan permintaan Presiden Kongres Uyghur Sedunia, Dolkun Isa.
Tujuannya untuk menyiasat jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di bawah undang-undang antarabangsa, yang didakwa dilakukan oleh negara China terhadap Uyghur, Kazakh dan orang Islam berbahasa Turki lain di barat laut China.
Sementara itu, Geoffrey Nice dalam forum anjuran Abim itu juga menggesa semua pihak menggembleng tenaga dan usaha dalam menegakkan keadilan buat etnik Uyghur.
“Ia adalah tanggungjawab kita semua untuk mempunyai pengetahuan tentang siapa yang tertindas dan ia juga adalah tugas kita untuk mengambil berat ke atas kemaslahatan manusia sejagat,” katanya.
Untuk rekod, Jurucakap Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang, China, Xu Guixiang dilaporkan berkata tuduhan “pembunuhan beramai-ramai” oleh tribunal di UK itu sebagai “pembohongan terbesar dalam sejarah terhadap China.”
Terdapat prosedur ketat untuk mentakrifkan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan ia tidak dapat diputuskan oleh sesetengah organisasi, kumpulan atau negara berdasarkan tuduhan dan fitnah yang tidak boleh dipertahankan, kata Xu pada Disember 2021.
‘China licik kaburi dunia’
Dalam perkembangan berkaitan Presiden Malaysia4Uyghur, Zuhri Yuhyi berkongsi kisahnya berkunjung ke Xinjiang untuk meninjau realiti di sana.
Menurut Zuhri, China sangat licik dalam mengaburi mata dunia daripada menghidu jenayah terhadap kemanusiaan yang dijalankan oleh mereka.
“Apabila saya di sana, semuanya hanyalah ‘Potemkin village’ atau dalam erti kata lain perancangan rapi untuk menunjukkan perkara yang baik sahaja kepada dunia luar, seakan-akan sebuah skrip.
“Setiap orang yang saya jumpa sudah dilatih apa yang hendak diperkatakan, tetapi saya dapat lihat dari bahasa tubuh mereka yang mereka sebenarnya dalam ketakutan, saya bagi salam pun mereka teragak-agak nak jawab kerana mereka boleh dihukum,” katanya.
Pada hujung November 2021, Konsortium Antarabangsa Wartawan Penyiasatan (ICIJ) mendedahkan dokumen sulit kerajaan China yang memperincikan gerak kerja dalaman yang menindas dalam kem tahanan di Xinjiang dengan butiran mengenai kawalan ketat terhadap etnik Uighur dan warga Islam lain di rantau itu.
Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis hak asasi manusia mengatakan sekurang-kurangnya sejuta orang Uighur dan warga minoriti Muslim lainnya telah ditahan di kem di Xinjiang.
Di sebalik bantahan antarabangsa, kerajaan China berulang kali menafikan dakwaan penindasan di kem tersebut.
Beijing juga menyangkal sebarang layanan buruk terhadap etnik Uighur atau warga lain di Xinjiang, mengatakan ia menyediakan latihan vokasional untuk membantu menghilangkan ekstremisme dan gerakan pemisah Islam serta mengajar kemahiran baru.