Pesawat perang negara pengganas Israel melancarkan serangan di Semenanjung Gaza hari ini menyasarkan apa yang dikatakan tentera sebagai tapak pembuatan senjata Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan.
Briged Ezzedine al-Qassam – cawangan bersenjata Hamas – berkata, mereka bertindak balas dengan serangan peluru berpandu.
“Pertahanan udara kami bertindak balas terhadap pesawat perang Zionis di Semenanjung Gaza dengan peluru berpandu darat ke udara tepat pada 01.35 waktu tempatan pagi Selasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Serangan itu berlaku selepas roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza yang dikepung ke selatan Israel dipintas pada Isnin.
Tiada laporan segera mengenai kematian atau kerosakan dalam serangan itu bahkan tiada kumpulan Palestin mengaku bertanggungjawab ke atas roket berkenaan, yang menurut Israel ditembak jatuh oleh pemintas Iron Dome.
Hamas memberi amaran bahawa sebarang insiden di perkarangan Masjid al-Aqsa akan menjadi ‘garis merah’ selepas tentera Israel menyerbu tapak di Baitulmaqdis Timur beberapa kali dalam beberapa hari kebelakangan ini, menahan ratusan rakyat Palestin dan menyebabkan puluhan cedera.
Palestin menegaskan Israel menceroboh Al-Aqsa ketika bulan suci Ramadan.
Sebelum serangan roket, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett mendakwa Hamas melancarkan ‘kempen gangguan liar’ terhadap Israel. – Agensi