Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh menegaskan, bahawa Masjid al-Aqsa khusus untuk orang Islam sahaja dan tidak boleh dibahagikan.
Bercakap kepada radio rasmi Palestin, Shtayyeh menyifatkan kerajaan ‘pelampau’ Israel yang diketuai Naftali Bennett cuba menyelesaikan krisis dalamannya dengan mengorbankan rakyat Palestin.
Untuk mencapai matlamat ini, Shtayyeh berkata, kerajaan Israel sedang meluaskan penempatan haram, mengenakan pengepungan dan melakukan serangan ke atas Masjid al-Aqsa untuk membawa pembahagian ruang tapak suci Islam itu.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa isu tahanan Palestin menjadi keutamaan Presiden Mahmoud Abbas.
Sempena Hari Tahanan Palestin pada 17 April lalu, Shtayyeh mengulangi komitmen Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk tidak menyerahkan mana-mana tahanan Palestin.
Beliau berkata, bahawa kerajaan bekerjasama dengan banyak badan antarabangsa untuk membebaskan tahanan Palestin dari penjara Israel. – Agensi