Ukraine memberi amaran menarik diri daripada sebarang rundingan dengan Russia jika penduduk di Mariupol dicederakan atau dibunuh dan referendum diadakan di wilayah yang diduduki.
“Jika rakyat kita di Mariupol terbunuh dan jika referendum palsu diadakan di wilayah yang diduduki, Ukraine akan menarik diri daripada sebarang rundingan,” tegas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada konvensyen di ibu negara, semalam.
Zelenskyy berkata, semua jenis perbincangan yang akan diadakan harus tertumpu hanya kepada keputusan konkrit.
Katanya, Ukraine akan mengambil balik semua wilayah yang diduduki sementara, sebaik sahaja negara itu mempunyai senjata mencukupi.
Zelenskyy berkata, setakat ini Turki menunjukkan hasrat untuk menjadi orang tengah yang memimpin rundingan antara kedua-duanya.
“Turki dengan jelas menyatakan bahawa ia mahu dan bersedia untuk menjadi antara negara penjamin,” katanya.
Malah, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin akan ke Kyiv untuk mengadakan perbincangan denganya, kata Zelenskyy.
Beliau turut mendakwa bahawa negaranya akan diterima masuk ke dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Adalah satu kesilapan besar untuk tidak memasukkan Ukraine dalam NATO. Keahlian kami dalam NATO akan mengukuhkan pakatan, ia akan menjadi jaminan bahawa Russia tidak akan memulakan perang. Ini adalah kesilapan strategik,” katanya.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 2,435 orang awam terbunuh dan 2,946 cedera di Ukraine sejak perang bermula 24 Februari, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Agensi