Negara pengganas Israel akan menutup sempadan ke Semenanjung Gaza mulai esok, kononnya sebagai tindak balas terhadap roket yang ditembak semalaman dari kawasan yang dikepung.
Roket itu – yang tidak menyebabkan kecederaan – dilancarkan selepas beberapa hari keganasan di sekitar Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Ia selepas beberapa siri pencerobohan Israel ke dalam Masjid al-Aqsa yang bermula awal Ramadan.
“Susulan roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel dari Semenanjung Gaza malam tadi, telah diputuskan bahawa lintasan ke Israel untuk pedagang dan pekerja Gaza melalui Sempadan Erez tidak akan dibenarkan pada Ahad ini.
“Pembukaan semula sempadan akan diputuskan mengikut penilaian situasi keselamatan,” kata COGAT, unit ketenteraan yang menyelaraskan urusan awam rakyat Palestin, dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kenyatan itu seolah-olah memberi bayangan bahawa serangan roket selanjutnya akan memanjangkan tempoh penalti.
Serangan terbaru ke atas al-Aqsa pada Jumaat adalah yang ketujuh dalam lapan hari yang dilakukan oleh tentera Israel di dalam masjid.
Lebih 170 rakyat Palestin cedera dalam serangan berterusan bahkan lebih 450 yang lain ditahan.
Rakyat Palestin berang dengan penempatan polis Israel secara besar-besaran dan lawatan berulang kali oleh peneroka haram Israel untuk berdoa di tapak suci itu. – Agensi