Presiden Russia, Vladimir Putin dijangka mengisytiharkan perang di Ukraine ketika Moscow bakal menyambut Hari Kemenangan ke-77.
Memetik laporan Al Jazeera, beberapa pemerhati menyifatkan Hari Kemenangan yang bakal di sambut esok sebagai propaganda bagi kerajaan di bawah pimpinan Putin yang ketika ini melancarkan pencerobohan berterusan ke atas Ukraine.
Malah, mereka bimbang Putin akan menggunakan sambutan kali ini untuk merancakkan lagi operasi ketenteraan di negara itu.
Pada masa sama, mereka juga percaya pucuk pimpinan Russia akan menggesa pengisytiharan perang secara rasmi.
Pensyarah sejarah Russia dari Universiti Miami, Stephen Norris mendakwa Putin dan penasihatnya sudah pasti mengutamakan sambutan bersejarah seperti ini dan lebih gemar menggunakannya untuk mengukuhkan kuasa mereka.
“Memandangkan Hari Kemenangan amat penting kepada Putin, sukar untuk membayangkan Russia tidak akan menggunakannya untuk tujuan tertentu.
“Malah, sukar untuk membayangkan sebarang kemenangan diisytiharkan.
“Sebaliknya, saya bimbang Putin akan menggunakan sambutan itu untuk mengumumkan serangan dan fasa baharu perang,” katanya.
Russia menyambut Hari Kemenangan bersempena dengan kemenangan terhadap tentera Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Sementara itu, seorang lagi pensyarah sejarah MIT, Elizabeth Wood mengakui bimbang dengan rancangan Putin yang mungkin mengerahkan tentera secara habis-habisan termasuk menggesa rakyatnya untuk berjuang bersama.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai pelaksanaan undang-undang tentera dan kerahan tenaga awam pada Mac lalu terbukti tidak benar.
“Sukar untuk melaksanakan kerahan tenaga awam, sekiranya situasi itu berlaku kemungkinan rakyat Russia akan melakukan protes.
“Anda mungkin boleh mengerahkan penduduk Buryatia (Siberia) namun jika berbuat demikian kepada warga Moscow, mereka mungkin akan membantah.
“Pada masa sama, saya rasa dia (Putin) tidak mungkin mengisytiharkan kemenangan. Saya jangka mereka sedang merancang untuk melanjutkan perang,” katanya.