Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamadb berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat.
Mahathir berkata, ini kerana terdapat kebimbangan peningkatan kes Covid-19 seandainya PRU15 diadakan.
“Saya ingat belum sesuai untuk PRU, kita harus berjaga-jaga, kita harus ingat apa berlaku di Sabah, Sabah ketika itu jumlah kes rendah, tetapi ketika itu (diadakan) PRN Sabah, (terus) berkembang penyakit,” katanya seperti dillapor Astro Awani.
Pada September 2020, pemberian vaksin Covid-19 masih belum dilaksanakan di negara ini.
Penggal parlimen sekarang akan berakhir pada 16 Julai 2023.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno mendesak PRU diadakan selepas 31 Julai bagi mendapatkan momentum selepas kemenangannya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.
Tekanan terhadap Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan naib presiden Umno, dijangka memuncak selepas perlembagaan Umno dipinda semalam yang bertujuan menangguhkan pemilihan parti itu.
Sebelum pindaan itu dibuat, Umno perlu mengadakan pemilihan menjelang Disember tahun ini.
Ismail Sabri hanya akan menyambut ulang tahun pertamanya sebagai perdana menteri pada 21 Ogos depan.
Ismail juga perlu berkhidmat sekurang-kurangnya sehingga 5 Feb tahun depan supaya tidak memegang jawatan itu dalam tempoh terpendek sepanjang sejarah.