Dengan negara sudah melangkah ke fasa peralihan endemik April lalu, hanya pekerja berkaitan sektor kesihatan masih boleh memohon pampasan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika didapati positif Covid-19.
Pekerja sektor lain yang didapati positif Covid-19 tidak lagi boleh mengemukakan tuntutan faedah hilang upaya sementara (HUS) melalui majikan mereka kepada Perkeso.
Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, keputusan itu sudah diumumkan pihak ibu pejabat Perkeso melalui satu kenyataan media pada 3 April lalu.
“Apabila berlaku peralihan fasa pandemik dan endemik, jadi ia tidak lagi membabitkan semua sektor pekerjaan.
“Hanya (pekerjaan) membabitkan sektor kesihatan seperti pekerja pembersihan, makmal, farmasi dan berkaitan masih boleh mengemukakan tuntutan kepada Perkeso,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang hari ini.
Tarmizi bagaimana pun berkata, tuntutan pekerja dari sektor lain masih boleh dikemukakan dan diproses, jika mereka disahkan positif sebelum 1 April.
Perkeso dalam kenyataan media pada awal bulan April lalu memaklumkan pihaknya akan memproses tuntutan faedah berkaitan kes Covid-19, di bawah kategori Penyakit Khidmat.
Selain Covid-19, penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat ialah jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit kencing tikus).
Bagi permohonan tuntutan faedah oleh Orang Berisnurans (OB) yang disahkan positif Covid-19 sebelum 1 April, proses tuntutan berkenaan akan diproses sebagai Bencana Kerja.
Sejak dilaksanakan pada Februari tahun lalu, Perkeso menerima kira-kira 133,000 permohonan tuntutan faedah Covid-19 membabitkan pekerja tempatan dan asing.
Sehingga Mac lalu, sebanyak RM133 juta sudah dibayar Perkeso kepada pencarum yang layak.