Gerakan Hizbullah Lubnan dan sekutunya hilang majoriti Parlimen selepas keputusan akhir pilihan raya umum negara itu diumumkan semalam.
Blok pimpinan Hizbullah hanya memenangi 62 daripada 128 kerusi yang dipertandingkan, berbanding 71 kerusi majoriti yang dimenangi dalam pilihan raya 2018.
Walaupun mengalami kekalahan, Hizbullah dan sekutunya Amal memperoleh semua 27 kerusi Parlimen yang diperuntukkan untuk ahli Parlimen Syiah, berbanding 26 kerusi yang diperoleh dalam pilihan raya lalu.
Bagaimanapun sekutu Hizbullah kehilangan kerusi yang memihak kepada calon bebas dan parti Pasukan Lubnan (LF) – yang disokong Arab Saudi – muncul sebagai blok Kristian terbesar, menggantikan sekutu Hizbullah, Presiden Michel Aoun dari Pergerakan Patriotik Bebas Kristian.
Ramai dalam kalangan masyarakat Sunni Lubnan memboikot pilihan raya selepas pemimpin Gerakan Masa Depan Lubnan yang juga bekas Perdana Menteri, Saad Hariri berundur daripada politik di samping keputusan Arab Saudi menarik balik sokongan kepada parti itu.
Di sebalik kekalahan Hizbullah, pergerakan itu masih dilihat sebagai ‘ancaman yang semakin meningkat’ kepada Israel.
Menurut Times of Israel, keputusan pilihan raya tidak akan mengubah pengaruh yang dikenakan oleh kumpulan yang disokong Iran.
“Kali terakhir Hizbullah dan sekutunya berada dalam minoriti menentang blok bersatu secara teori pada 14 Mac, sehingga pilihan raya 2018, mereka masih berjaya mencapai matlamat mereka di peringkat domestik dan serantau,” katanya.
Kebangkitan golongan bebas dalam pilihan raya tahun ini di tengah-tengah kegawatan ekonomi negara dan penentangan pilihan raya pertama sejak letupan Pelabuhan Beirut pada 2020 menghantar mesej kepada elit politik yang telah lama dituduh melakukan rasuah dan salah urus. – Agensi