Satu tinjauan mendakwa majoriti rakyat Malaysia sekurang-kurangnya memiliki pandangan agak baik terhadap kerajaan Ismail Sabri Yaakob.
Tinjauan oleh International Republic Institute (IRI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mendapati hanya 17 peratus yang “sangat suka” kerajaan hari ini.
Namun, 45 peratus responden lagi “agak suka”, 22 peratus “agak tidak suka”, 13 peratus “sangat tidak suka” dan tiga peratus lagi “tidak pasti”.
Tinjauan itu melibatkan 1,207 responden warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas. Pihak tinjauan IRI berkata responden itu mewakili populasi negara dan data yang diperolehi dinilai berdasarkan negeri, gender, usia, kaum dan sama ada tinggal di bandar atau tidak, berdasarkan anggaran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019.
Ia menyatakan bahawa jidar kesilapan tidak melebihi 2.8 peratus.
Respons “suka” dan “agak suka” terhadap pentadbiran Ismail Sabri adalah lebih 50 peratus untuk semua peringkat suai, serta di kalangan responden yang tinggal di bandar dan luar bandar.
Trend sama ditunjukkan di kalangan respoden Melayu, India dan Bumiputera.
Majoriti responden Cina pula mempunyai pandangan negatif terhadap kerajaan, dengan hanya tujuh peratus “sangat suka” dan 36 peratus “agak suka”.
Keyakinan merosot
Walaupun pandangan terhadap Ismail Sabri baik, dapat dilihat keyakinan terhadap hala tuju negara kian merosot.
Seramai 64 peratus responden percaya negara berada di hala tuju yang betul berbanding 70 peratus pada Oktober 2021.
Jumlah responden yang merasakan negara di hala tuju yang salah meningkat daripada 22 peratus pada Oktober 2021 kepada 28 peratus.