Seorang pemimpin Pemuda MCA membidas Ahli Parlimen Tanjong Malim Chan Lih Kang kerana menggesa kerajaan menghentikan projek MRT3.
Menyifatkan gesaan Chan sebagai tidak profesional dan tidak masuk akal, Naib Pengerusi Pemuda MCA Chua Hock Kuan berkata ahli parlimen PKR itu harus ditegur atas kenyataan tidak berasasnya.
“Mana-mana individu yang memegang maklumat atau bukti yang sah (berkaitan penyelewengan) melibatkan projek MRT3 harus melaporkannya kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan bukannya merepek tanpa tujuan tanpa sebab.
“Mungkin kerana dia sedang menghadapi pemilihan partinya, maka dia sengaja mengeluarkan kenyataan tidak berasas untuk mendapatkan publisiti murahan,” dakwa Chan.
Chang pada hari Isnin menyatakan keraguan tentang kemampanan model kewangan kerajaan untuk projek MRT3.
Antara lain, Chang mendakwa entiti pembiayaan dan pengendali projek rel itu, Prasarana Malaysia Berhad dan DanaInfra Nasional Berhad, telah melebihi paras hutang mereka.
Dia seterusnya mendakwa sekiranya jumlah penumpang bagi projek MRT2 dan MRT3 tidak sepadan dengan jangkaan kerajaan, Prasarana tidak akan dapat bertahan.
Mengulas lanjut, Chan memetik pendapat ahli ekonomi bahawa operasi masa depan MRT3 akan memulihkan dan memberi manfaat kepada industri pembinaan.
“Justeru, kelulusan projek MRT3 oleh kerajaan adalah tepat pada masanya dan merupakan berita baik untuk industri.
“Taktik Chang hari ini adalah sama dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang sengaja menangguhkan pelbagai projek mega mengakibatkan kenaikan kos yang mendadak,” dakwanya.
“Ini termasuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang sehingga kini, masih belum dipulihkan, sekali gus menafikan peluang negara untuk memulihkan ekonomi,” katanya.
Sebelum ini, Chang telah menggesa kerajaan menghentikan pelaksanaan projek MRT3 bagi membolehkan lebih banyak penelitian terhadap projek itu oleh jawatankuasa pilihan parlimen.