Seorang pemilik kedai runcit di Ayer Tawar, Perak didenda RM3,000 kerana meletakkan minuman beralkohol dan bukan alkohol di rak yang sama.
Pada sidang media hari ini, Ahli Parlimen Beruas Ngeh Khoo Ham (atas) berkata pemilik kedai itu didenda mengikut Peraturan 361 (5) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Di bawah subperaturan (5)(a), minuman beralkohol hendaklah dipamerkan untuk dijual di dalam kabinet/rak pameran yang berasingan selain daripada kabinet/rak paparan yang digunakan untuk makanan lain.
Ngeh berhujah bahawa di bawah perkataan undang-undang induk – Akta Makanan 1985 – tujuan undang-undang itu adalah untuk melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan dan penggunaan makanan.
“Jelas sekali, meletakkan botol minuman beralkohol di sebelah botol minuman bukan alkohol sama sekali tidak tertakluk di bawah undang-undang ini.
“Justeru, peraturan yang dibuat oleh menteri dan kini dikuatkuasakan oleh pegawai itu adalah tidak sah dan terbatal. Saya minta kerajaan segera meminda peraturan yang dikeluarkan daripada Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.
Sehubungan itu, Ngeh berkata dia telah menasihatkan pemilik kedai itu supaya tidak membayar denda RM3,000 kerana subperaturan (5)(a) adalah ultra vires (melangkaui) kuasa yang diberikan oleh Akta Makanan 1985 kepada menteri kesihatan.
Undang-undang subsidiari – undang-undang yang bukan Akta – boleh dikeluarkan oleh menteri masing-masing tanpa persetujuan Parlimen.
Sementara itu, Ngeh berhujah kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik kedai runcit adalah terbatal dan tidak sah kerana ia tidak mengandungi tarikh untuk hadir ke mahkamah dan pegawai itu juga tidak mendapat kebenaran daripada pihak pendakwa raya untuk berbuat demikian.