Jabatan Perhutanan Perak akan menutup 14 kawasan rekreasi, riadah atau hutan simpan yang mempunyai air terjun berkuat kuasa serta-merta untuk sementara waktu sehingga cuaca sesuai dilawati pengunjung.
Menteri besarnya Saarani Mohamad berkata bagi tujuan itu, satu perbincangan bersama pengarah Jabatan Perhutanan akan diadakan dengan mengambil kira insiden yang berlaku akibat kepala air baru-baru ini.
“Jadi kita nak tutup supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya pergi ke tempat berkenaan.
“Harus diingatkan kepada orang ramai apabila mandi-manda ketika cuaca gelap, kawasan sebelah atas akan terkena hujan dahulu, itu kita panggil kepala air. Maka air hujan yang deras dan besar akan turun dan menimpa sesiapa sahaja yang berada di bawah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 anjuran Jabatan Perhutanan Negeri di Taman Eko Rimba, Kledang Saiong di Ipoh, hari ini.
Dia mengulas mengenai insiden kepala air menimpa dua pendaki di Gunung Suku dekat Hutan Simpan Bukit Kinta, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Ahad lepas.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira lima pagi, sekumpulan 29 pendaki gunung telah terdengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.
Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua pendaki wanita yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan arus deras.
Dilapor pada Selasa lepas, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di bawah timbunan kayu pada 10.20 pagi.
Selain insiden di Gunung Suku, difahamkan terdapat satu lagi kes kematian membabitkan seorang pendaki berumur 66 tahun ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 13 lagi rakannya di Gunung Yong Belar malam tadi namun menurut Saarani, maklumat lanjut akan diberikan dalam masa terdekat.
Saarani berkata pendaki yang menerima permit diharapkan agar mematuhi jadual yang ditetapkan selain tidak menukar hari mendaki sesuka hati tanpa memaklumkan kepada pihak yang berkaitan.
“Satu lagi, kita memang ada permit yang dikeluarkan untuk peminat-peminat mendaki gunung. Kalau dia ikut jadual, kita tahu pukul berapa dia masuk dan keluar pukul berapa. Tapi ada sesetengah yang tidak mengikut jadual serta tidak memaklumkan kepada kita,” katanya.
-Bernama