Seorang pemimpin Pakatan Harapan (PH) Johor mendakwa program “Bantuan Beras Bangsa Johor” yang diumumkan oleh Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi hanya “kempen politik” dengan perancangan yang tidak efektif.
Adun Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern berkata program itu hanyalah satu lagi taktik politik yang tidak realistik selain mekanisme pengedaran beras tidak efektif dan prosesnya tidak telus.
“Pengedaran bekalan bantuan beras kepada orang dalam bidang kuasa pada asalnya adalah satu perkara yang baik, namun rancangan kerajaan negeri lebih kepada gelagat politik dengan perancangan yang tidak efektif.
“Saya tidak boleh menerima sebuah badan tadbir negeri melakukan perkara ini, apatah lagi inisiatif bantuan ini hanyalah kempen politik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri BN selepas Hari Raya dan sebelum pilihan raya umum.
“Beras percuma yang diagihkan oleh kerajaan negeri Johor itu tidak diaturkan oleh kerajaan tempatan, agensi berkaitan atau ahli dewan undangan negeri yang dipilih oleh rakyat.
“Seolah-olah mereka berfikir, satu pek beras ini boleh diganti dengan undi bagi sekeluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Onn Hafiz pada 27 April mengumumkan bahawa beras akan diagihkan kepada setiap keluarga di Johor.
Menurutnya, inisiatif ini akan memanfaat 900,000 penduduk Johor pada akhir bulan Mei 2022.
Bagaimanapun, pembangkang termasuk Pengerusi PH Johor Liew Chin Tong mendakwa Adun pembangkang tidak dilibatkan dalam projek bantuan ini yang turut dikenali sebagai Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ).
Sementara itu, Chiong berkata dia sebagai Adun Bukit Batu tidak dimaklumkan mengenai bantuan ini.
“Proses pengagihan serta masa dan tempat juga tidak diumumkan secara jelas melalui saluran rasmi bagi perhatian rakyat.
“Di DUN Bukit Batu, ramai bertanya kepada saya atau pembantu saya tentang bantuan ini, tetapi sebagai Adun, saya tidak dimaklumkan apa-apa tentang bantuan ini.
“Apabila saya mengajukan soalan, kepada agensi berkaitan bantuan tersebut jawapan yang sering diberikan hanyalah ‘tolong bersabarlah’ dan ‘menunggu pemberitahuan’.
“Ini adalah respons yang sangat tidak bertanggungjawab, ia seolah-olah mereka tidak dapat membantu tetapi membuatkan orang ramai tertanya-tanya tentang bantuan itu,” katanya.