Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari tampil mempertahakan kod dan etika pemakaian yang ditetapkan kepada orang ramai ketika berurusan di jabatan atau agensi kerajaan.
Dalam satu kenyataan, Presiden Cuepacs Adnan Mat menyifatkan kritikan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham mengenai isu itu semalam sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.
“Cuepacs berpandangan kenyataan Ahli Parlimen DAP adalah satu pendapat yang bersifat dangkal dan tidak bertanggungjawab.
“Sebagai seorang wakil rakyat beliau sewajarnya bersama-sama dengan perkhidmatan awam menasihatkan orang ramai untuk lebih bersopan dalam etika berpakaian bagi menjaga keharmonian semua pihak.
“Cuepacs berpandangan peraturan yang dikeluarkan oleh setiap ketua jabatan dalam aspek etika berpakaian adalah suatu yang wajar dipraktikkan oleh semua pihak yang berurusan dengan mana-mana organisasi tidak kira swasta mahupun jabatan kerajaan,” katanya.
Semalam, Ngeh meminta ketua-ketua jabatan kerajaan supaya meningkatkan prestasi kakitangan awam berbanding ‘mengawasi’ pakaian orang ramai yang berurusan di jabatan kerajaan.
‘Seolah-olah hina golongan miskin’
Pemimpin DAP itu memberikan contoh golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli pakaian bersopan ketika berurusan di jabatan kerajaan.
“Tidak wajar untuk beliau memberikan contoh seorang petani yang berseluar pendek, Orang Asli yang memakai pakaian tradisional atau orang miskin yang tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian yang sopan kerana
“Cuepacs yakin setiap warga Malaysia mengetahui etika dalam kehidupan dan tidak akan sesekali melanggarnya dengan sengaja.
“Contoh ini sebenarnya seolah-olah menghina golongan tersebut dan Cuepacs yakin walaupun seseorang itu miskin, mereka ini tetap kaya dengan budi pekerti dan akhlak,” kata Adnan.
Sehubungan itu, katanya Cuepacs menegaskan agar tiada pihak-pihak yang cuba memainkan isu tersebut demi kepentingan ideologi politik masing-masing.
“Elakkan melakukan serangan kepada perkhidmatan awam hanya dengan tujuan atau kepentingan politik yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sebelum ini banyak jabatan dan agensi kerajaan termasuk mahkamah di Malaysia menetapkan kod pakaian yang berbeza-beza kepada orang ramai.