Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin berkata Pakatan Harapan (PH) harus memberi tumpuan untuk membina kekuatan sendiri di tengah-tengah tafsiran berbeza mengenai strategi “khemah besar”.
Ahli parlimen DAP itu berkata walaupun ada yang melihat strategi itu sebagai menyatukan semua pasukan anti-Umno, ada pihak lain melihatnya sebagai menyatukan semua parti pembangkang.
Bagaimanapun, katanya, dalam pembangkang, tidak semua mempunyai matlamat dan strategi yang sama.
“Ada yang hendak cuba nasib dengan lawan free for all.
“Saya berpendapat bahawa, jika akhirnya tidak dapat membentuk khemah besar seperti yang dikatakan, apa yang harus PH buat adalah memperkasakan keupayaan sendiri.
“Kita harus bergantung kepada kekuatan parti sendiri untuk menawarkan kepada rakyat supaya dapat dipilih sebagai penerima mandat rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Chan dibuat di tengah-tengah perbincangan dalam parti Warisan yang berpangkalan di Sabah untuk bertanding sendiri dalam pilihan raya umum akan datang.
“Pakatan politik tidak semestinya memenangi kerusi dalam pilihan raya,” Pata presiden Warisan Shafie Apdal.
Terdapat juga cadangan agar PH mempertimbangkan bekerjasama dengan PN menentang BN tetapi cadangan itu tidak popular susulan peranan PN dalam menjatuhkan kerajaan PH pada 2020.