Dua tahanan pentadbiran Palestin di penjara Israel kini sudah 81 hari dan 46 hari berturut-turut melancarkan mogok lapar, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan.
Khalil Awawdeh, 40, dari bandar Idna di selatan Tebing Barat telah melakukan mogok selama 81 hari sebagai membantah penahanan pentadbiran yang berterusan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Dia dilaporkan mengalami sakit kepala, keletihan, sakit sendi, degupan jantung tidak teratur, kerap muntah dan penurunan berat badan yang ketara selepas 58 hari mogok lapar.
Sementara, Ra’ed Rayyan, 27, dari perkampungan Bayt Duqu di wilayah Baitulmaqdis pula telah melakukan mogok lapar selama 46 hari bagi menuntut penahanan pentadbirannya ditamatkan.
Rayyan dikatakan mengalami sakit kepala berterusan dan sakit sendi, kelesuan, muntah berterusan dan tidak dapat bergerak tanpa kerusi roda.
Dasar penahanan pentadbiran Israel dikutuk secara meluas kerana membenarkan rakyat Palestin yang ditangkap, dipenjara tanpa pertuduhan atau perbicaraan untuk selang masa yang boleh diperbaharui – biasanya antara tiga dan enam bulan.
Pada masa ini, Israel menahan lebih 500 warga Palestin dalam tahanan pentadbiran, yang dianggap haram oleh undang-undang antarabangsa.- Agensi