Ketua pembangkang Perak Abdul Aziz Bari menyatakan hasrat untuk mencabar bekas menteri besar Ahmad Faizal Azumu di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15, ketua pemuda Amanah negeri Khairol Najib Hashim menasihatkannya agar kenyataan sedemikian harus dielak bagi menghormati proses rundingan kerusi dalam PH.
“Pemuda Amanah Perak ingin membuat teguran kepada pimpinan PH di semua peringkat agar menghormati mandat yang diberikan oleh kesemua parti anggota dalam PH terhadap jawatankuasa perundingan kerusi yang ditubuhkan dalam menguruskan hal pembahagian kerusi.
“Kenyataan terbuka yang bersifat peribadi harus dielak supaya proses perundingan dihormati dan semua parti dapat menjaga keharmonian dengan membawa apa sahaja isu berkaitan dalam mesyuarat rasmi jawatankuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Semalam, Aziz menawarkan diri untuk bertanding di Tambun antaranya kerana merasakan Ahmad Faizal yang merupakan ahli parlimennya tidak banyak turun di lapangan.
Aziz juga mendakwa tidak dapat mengenal pasti ke mana peruntukan untuk parlimen tersebut telah disalurkan.
Sebagai respons balas terhadap kenyataan itu, Khairol melihat kenyataan Aziz yang juga merupakan Adun Tebing Tinggi sebagai hasrat peribadi dan PH Perak tidak semestinya perlu akur.
Malah menurutnya, Aziz sebagai ketua pembangkang negeri perlu memberi tumpuan lebih besar dalam usaha memperjuangkan isu-isu berkaitan negeri, untuk meningkatkan sokongan PH di Perak.
“Mengenai calon, PH Perak mempunyai ramai calon berkelayakan dan mempunyai merit yang baik untuk bertanding melawan siapa sahaja yang diletakkan oleh pihak lawan termasuk di parlimen Tambun.
“Sudah semestinya sebagai sayap pemuda, kami akan berusaha untuk meletakkan calon yang lebih bertenaga di setiap kerusi dalam PRU15 dan berupaya memberi kemenangan kepada PH,” katanya lagi.