Sementara dasar penetapan harga siling bagi ayam wajar diteruskan, DAP berpendapat kerajaan perlu memastikan bantuan subsidi mencukupi dan mampu menampung kenaikan kos yang tinggi.
Setiausaha agungnya Anthony Loke berkata ini kerana masalah kos sara hidup yang semakin tinggi merupakan tekanan hidup yang paling besar untuk kebanyakan rakyat.
“Isu bekalan ayam terputus yang berlaku beberapa hari ini di seluruh negara tidak seharusnya berlaku dan kegagalan kerajaan menangani isu ini tidak boleh diterima sama sekali.
Kekurangan bekalan ayam dipercayai berpunca daripada pengeluaran yang berkurangan daripada penternak disebabkan tekanan kos dedak ayam yang terlalu tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain memastikan pemberian subsidi berjalan tanpa kerenah birokrasi, dia berkata pemberian subsidi 60 sen untuk setiap kilogram ayam perlu disemak semula agar selaras dengan kos dedak yang tinggi.
Terdahulu hari ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menafikan dakwaan penutupan sementara beberapa ladang ternakan pada hujung minggu lalu adalah punca kekurangan bekalan ayam di pasaran.
Kementerian itu berkata pemeriksaan mendapati ada ladang ayam yang berdepan masalah kenaikan berat badan ayam yang disebabkan masalah mutu dedak, jangkitan penyakit dan cuaca panas melampau yang telah mengganggu pembesaran ayam.
Awal tahun ini, menterinya Ronald Kiandee berkata kerajaan sedang merangka dasar untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dedak ayam import, antaranya dengan menggalakkan penanaman jagung bijian yang merupakan komponen penting dalam bahan makanan ternakan.
Tidak jelas jika ia berkait dengan Pelan Induk Pembangunan Jagung Bijian 2018-2032, yang dilancarkan pada 2016, dengan matlamat mengeluarkan 30 peratus gajung bijian yang diperlukan untuk penggunaan domestik.
Dalam pada itu, Loke berkata pembatalan syarat permit import (AP) untuk bahan makanan bukanlah penyelesaian segera yang akan menyelesaikan masalah yang melanda.
“Keputusan kerajaan untuk membatalkan syarat AP untuk mengimpot bahan makanan bukan merupakan formula ‘silver bullet’ yang akan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang makanan dan memastikan bekalan tidak terputus,” katanya.
Katanya, setiap negara sedang bergelut dengan masalah keselamatan makanan domestik dan negara pengeluar utama akan mengutamakan keperluan sendiri terlebih dahulu.
“Tambahan pula, dengan nilai mata wang Ringgit yang lemah, maka sebarang import makanan daripada negara lain melibatkan harga belian yang lebih tinggi.
“Kerajaan persekutuan seharusnya bertindak segera dengan melibatkan semua kerajaan negeri untuk menyediakan tapak tanah secara besar-besaran dengan secepat mungkin untuk tujuan penanaman bijirin untuk mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya lagi.