Ketua Biro Politik Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Ismail Haniyeh memberi amaran kepada negara pengganas Israel supaya tidak membenarkan perarakan bendera oleh peneroka di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Haniyeh menegaskan bahawa Hamas tidak akan membenarkan sebarang pencemaran terhadap Masjid al-Aqsa atau pun keangkuhan peneroka haram di Baitulmaqdis.
“Kami mengikuti ancaman menyerbu kompleks al-Aqsa dan kami memberi amaran kepada musuh agar tidak mengambil langkah sedemikian,” katanya dalam ucapan di televisyen menandakan ulang tahun pertama serangan Israel selama 11 hari di Semenanjung Gaza.
Pemimpin Hamas itu juga menggesa rakyat Palestin untuk melindungi Masjid al-Aqsa dan menghalang peneroka daripada meneruskan rancangan mereka terhadap masjid itu.
Minggu lalu, Menteri Keselamatan Awam, Omer Barlev mengumumkan bahawa perarakan – yang dijadualkan pada 29 Mei – akan diadakan dengan cara yang sama seperti tahun sebelumnya.
Menurut rancangan yang diluluskan Barlev, perarakan akan berlangsung di sepanjang Jalan Jaffa ke Pintu Damsyik, akses akan disekat untuk rakyat Palestin.
Perarakan akan diteruskan ke Kota Lama melalui Hagai Street di Muslim Quarter dan berakhir di Tembok Barat.
Penduduk Israel berhasrat untuk mengadakan perarakan bendera bagi menandakan hari penyatuan Baitulmaqdis, merujuk kepada pendudukan negara haram Israel di bandar itu pada 1967.
Tahun lalu, peneroka melancarkan perarakan mereka melalui Pintu Damsyik, yang dikenali sebagai kawasan Bab al-Amud dan salah satu pintu Kota Lama Baitulmaqdis.
Pada Mei 2021, pencabulan Israel di dalam Masjid al-Aqsa dan di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang diduduki mencetuskan serangan tentera rejim Zionis ke atas Gaza.
Lebih 200 rakyat Palestin terbunuh ribuan cedera dalam serangan itu – yang terhenti di bawah gencatan senjata yang dibantu oleh Mesir. – Agensi